Gabungan filem Polis Evo, The Journey catat RM34.58 juta
Filem Polis Evo dan The Journey, kedua-duanya terbitan Astro Shaw mendahului dua senarai teratas Top 10 filem cereka tempatan yang mencatatkan kutipan pecah panggung.
Berdasarkan Maklumat Industri Filem Tempatan daripada Portal Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), kombinasi kutipan dua filem ini mencatatkan kutipan kasar RM34.58 juta.
Satu lagi filem Astro Shaw iaitu Ombak Rindu berada di tempat keempat dengan kutipan RM10.9 juta.
Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah terbitan Tayangan Unggul iaitu anak syarikat Astro Shaw berada di tangga kesembilan.Filem ini mencatatkan kutipan RM7.9 juta.
Ini membuatkan keseluruhan empat filem di bawah bumbung Astro ini mencatatkan kutipan kasar sebanyak RM53.38 juta.
Sementara itu, tiga filem terbitan MIG Production juga berada dalam senarai Top 10 filem cereka tempatan iaitu Ngangkung dengan kutipan kasar RM8.18 juta, Kongsi (RM8.09 juta) dan Adnan Sempit (RM7.66 juta).
Turut berada dalam senarai ini ialah KL Gangster terbitan Skop Production dengan kutipan kasar RM11.74 juta, manakala Khurafat yang diterbitkan bersama Skop Production dan Primeworks Sdn Bhd membawa kutipan RM8.08 juta
Filem Hantu Bonceng terbitan Execellent Pictures milik Ahmad Idham berada di tempat kelima dengan catatan RM8.54 juta.









# filemcereka tempatan
# filemtempatantop10









